Pages

Monday, April 9, 2012

Surah Al-Jumu'ah, 62, ayat 11




Assalamualaikum sahabat blog sekalian... insyaAllah, entry kali ini sekadar berkongsi apa yang ada..petikan dibawah ini saya baru je baca petang tadi, berehat seketika semasa di library,tersentuh dengan kata-katanya,  semoga bermanfaat buat semua...selamat membaca, selamat berfikir dan selamat beramal..=)


SIKAP TERHADAP KESENANGAN HIDUP


Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka meninggalkan kamu sedang dalam keadaan berdiri (berkhutbah). Katakanlah; “ Apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik daripada permainan dan perniagaan”. Dan Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki." (Al-Jumu'ah,62 : 11)


LATAR BELAKANG AYAT


Ayat di atas adalah ayat terakhir dalam Surah al-Jumu’ah. Ia berkaitan sebuah peristiwa yang berlaku di kota Madinah al-Munawwarah pada suatu hari Jumaat sewaktu hendak menunaikan solat Jumaat. Ketika itu Rasullullah SAW sedang berdiri di atas mimbar menyampaikan khutbah manakala para sahabat pula duduk mendengarnya. Tiba-tiba datang satu rombongan perniagaan menuju kota Madinah. Rombongan itu yang dipimpin oleh Dihyah bin Khalifah dilengkapi dengan alat-alat muzik dan tabuh sebagai tarikan. Ketika itu Dihyah belum memeluk Islam. Dengan serta merta jamaah solat Jumaat yang sedang mendengar khutbah Rasullullah SAW itu bangun menuju kepada rombongan perniagaan tadi dan meninggalkan Rasullullah SAW yang sedang berkhutbah. Dalam konteks inilah Allah menyatakan:
“Dan apabila mereka melihat perniagaan dan permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya, dan mereka meninggalkan kamu sedangkan kamu dalam keadaan berdiri (berkhutbah).”
Menurut riwayat Abu Ya’la, daripada Jabir bin Abdillah, dalam peristiwa itu sahabat yang tetap mendengar khutbah Rasullullah SAW hanya 12 orang sahaja. Antara mereka ialah Abu Bakar dan Umar. Ketika itu Rasullullah SAW bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, kalaulah satu demi satu kamu pergi semua sehingga tidak tinggal seorangpun, nescaya akan mengalirlah satu lembah api neraka menimpa kamu.”


TARIKAN PERNIAGAAN DAN HIBURAN


Peristiwa itu memberi gambaran betapa kuatnya tarikan perniagaan (tijarah) dan hiburan (lahwun) terhadap jiwa manusia, dan dalam konteks ini termasuk jiwa para sahabat Rasullulah SAW.
Jika kita keluar sejenak daripada kenyataan sejarah ini dan melayangkan pandangan kepada suasana hari ini, kita akan melihat fenomena yang sama iaitu perniagaan dan hiburan menjadi daya tarikan yang kuat dalam kehidupan masyarakat. Kedua-dua kegiatan ini benar-benar mengambil masa dan fikiran masyarakat kita.
Watak ‘business’ (busy + ness) yang memang sibuk dan menyibukkan membuatkan masyarakat kita letih dan kesuntukan masa. Keadaan ini akhirnya mendorong mereka mencari hiburan untuk menghilangkan penat lelah. Bermacam-macam alat hiburan boleh didapati dalam masyarakat hari ini seperti filem, video, karaoke, TV 24-jam, taman-taman hiburan, tempat peranginan, showbiz, konsert, disko, pub dan kelab malam. Semua ini disebut di dalam al-Quran dengan istilah ‘lahwun’.
Peristiwa para sahabat yang meninggalkan Rasullullah SAW sewaktu sedang berkhutbah, mengingatkan kita akan keadaan para du’at hari ini yang ditinggalkan oleh masyarakat. Seakan-akan para du’at sedang berdiri di hadapan masyarakat menyeru dan mengajak mereka untuk kembali ke jalan Allah, tiba-tiba berlaku ledakan ekonomi dengan lambaian perniagaan (tijarah) dan hiburan (lahwun) yang mengiringinya. Perhatian masyarakat tidak lagi tertumpu kepada dakwah. Golongan pemuda dan pemudi sama ada di kampung atau di kampus, yang suatu ketika dulu menjadi tenaga dakwah, kini mula lari bertempiaran kerana tarikan hiburan yang beraneka ragam. Mereka meninggalkan para du’at yang berdiri di medan dakwah.
Yang lebih malang lagi adalah apabila ada sebahagian du’at juga tertarik dengan kesempatan dan peluang perniagaan yang datang mengejut di belakang mereka. Secara perlahan-lahan mereka menghampirinya untuk menceburinya dengan penuh kesungguhan. Hal ini juga mengingatkan kita kepada tangisan seorang murabbi salaf al-saleh, Imam Sufyan al-Thauri (wafat pada 161 H) ketika murid-murid yang pernah dididiknya tidak lagi memberikan komitmen terhadap pelajaran dan nasihat yang diberinya. Mereka lebih suka memilih pekerjaan yang dikira glamour pada masa itu iaitu menjadi qadi atau gabenor kerana dekat dengan penguasa.
Ketika Imam Sufyan al-Thauri bersedih, beliau ditanya oleh salah seorang muridnya, “Apakah yang membuat tuan berduka?” Imam Sufyan al-Thauri menjawab, “Sekarang kita telah menjadi gudang jualan untuk orang-orang yang mencari dunia. Sahabat-sahabat kita yang dahulu iltizam dengan kita, setelah mereka pandai mereka diangkat menjadi qadi atau gabenor.” Imam Sufyan al-Thauri ditinggalkan sebahagian muridnya sama seperti Rasullullah SAW ditinggalkan dahulu. Begitu juga pada hari ini dalam masyarakat kita, dakwah dan amal jama’i perlahan-lahan ditinggalkan, kerana sebahagian du’at lebih tertarik dengan perniagaan. Dengan itu tinggallah segelintir du’at yang istiqamah. Mereka tetap berdiri di atas mimbar berkhutbah walaupun yang lain tidak lagi menghiraukannya. Dalam keadaan seperti ini Allah berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Apa yang ada di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan.’”
Kata-kata inilah yang menahan Rasullullah SAW dan segelintir sahabat daripada tarikan permainan dan perniagaan. Kata-kata inilah juga yang sepatutnya memberi kekuatan kepada para du’at untuk meneruskan kerja-kerja dakwah mereka walaupun orang lain sibuk dan disibukkan oleh perniagaan dan hiburan. Katakanlah dalam hatimu wahai para du’at, “Sesungguhnya pahala di sisi Allah adalah jauh lebih baik daripada perniagaan dan hiburan yang diceburi.” Sesungguhnya kerugian yang dialami para du’at hari ini kerana setiap masa menanggung ‘kos melepas’ (opportunity costs) peluang penghidupan yang lebih baik yakni “pelaburan” dan “saham” di sisi Allah. Nisbah masa yang ada pada para du’at, yang sepatutnya boleh digunakan untuk perniagaan adalah tijaratan lan tabur (perniagaan yang tidak akan rugi). Allah akan membeli harta dan jiwa para du’at yang beriman dengan syurga sebagai mata wangnya. Apakah ada tukaran yang lebih baik daripada syurga Allah?


KEDUDUKAN PERNIAGAAN DAN HIBURAN DALAM ISLAM


Allah SWT sebenarnya tidak melarang perniagaan dan hiburan selagi kedua-duanya berada di atas landasan syara’ dan tidak melalaikan du’at daripada melaksanakan perintah Allah. Lebih-lebih lagi apabila harta kekayaan yang didapati daripada perniagaan itu diinfakkan ke jalan Allah, maka dengan sendirinya perniagaan itu menjadi sebahagian daripada dakwah dan jihad. Oleh itu tidak ada perkara yang lebih utama bagi seorang ahli perniagaan yang berharta melainkan infak mereka di jalan Allah.
Kadar infak mereka sepatutnya lebih tinggi daripada orang biasa. Mereka juga patut menjadi tulang belakang ekonomi harakah Islamiah seperti yang dilakukan oleh Khadijah yang menjadi tulang belakang kepada dakwah Rasullullah SAW. Janganlah pula menjadi seperti Tha’labah bin Hatib al-Ansari. Apabila telah mempunyai banyak harta, lupa membayar zakat kerana sibuk. Sesungguhnya sedikit kekayaan tetapi disyukuri adalah lebih baik daripada harta yang banyak tetapi tidak mampu dipikul di jalan Allah. Boleh jadi kita menyukai sesuatu padahal ia mendatangkan keburukan. Boleh jadi juga kita tidak menyukai sesuatu padahal ia membawa kebaikan kepada diri kita. Ingatlah sebenarnya Allah pemberi rezeki.


MENAFSIR SIRAH SAHABAT


Peristiwa para sahabat meninggalkan khutbah Rasullulah SAW mungkin menjadi tanda tanya bagi sesetengah orang. Bagaimanakah sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang sempat mendapat didikan 13 tahun di Makkah masih boleh meninggalkan Rasullullah SAW semata-mata kerana tertarik dengan rombongan perniagaan dan hiburan. Bagi mereka yang di dalam hatinya ada penyakit pula cenderung menafsirkan keadaan itu dengan tafsiran yang tidak layak bagi sahabat-sahabat Rasullullah SAW.
Dalam menanggapi peristiwa di atas, Ibnu Kathir menyatakan: Ada sesuatu yang perlu diketahui iaitu kisah di atas terjadi ketika Rasullullah SAW mendahulukan solat Jumaat daripada khutbah, seperti solat Aidil Fitri dan Aidil Adha. Mereka menyangka meninggalkan khutbah selepas solat itu tidak mengapa. Demikian diriwayatkan oleh Imam Abu Daud. Ini diperkuatkan lagi dengan pernyataan Qatadah dalam tafsir al-Qurtubi bahawa para sahabat berbuat begitu sebanyak tiga kali. Kebetulan rombongan perniagaan selalu datang pada hari Jumaat. Jika sahabat-sahabat mengetahui perkara itu dikeji sudah tentu peristiwa itu tidak akan terjadi sampai tiga kali kerana menurut Syed Qutb dalam Ma’alim Fil al-Tariq, sahabat-sahabat Rasullullah SAW mempunyai keistimewaan.
Mereka adalah manusia biasa yang juga bersalah dan berdosa, tetapi apabila mereka melakukan kesalahan atau dosa mereka tidak mengulanginya. Kebanyakan kesalahan yang mereka lakukan adalah disebabkan tidak tahu dan tidak sengaja. Ini tentunya menjadi pengajaran kepada generasi selepas mereka. Ia bukanlah hujjah untuk menghina sahabat-sahabat Rasullullah SAW, dengan tafsiran ‘bengkok’ golongan Rafidhah. Peristiwa ini juga tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk berselindung di sebalik kelemahan sahabat Rasullullah SAW dengan tujuan untuk mengundurkan diri daripada melakukan usaha-usaha yang lebih gigih bekerja di jalan Allah.

1 comment:

  1. nice sharing..sahabah is a great people ever..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...